AYAT 1-2
Menurut sebuah riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Jarir Art-Thabari, demikian juga riwayat dari Ibnu Abi Hatim, yang diterima dari Ibnu Abbas; "Sedang Rasulullah menghadapi beberapa orang terkemuka Quraisy, iaitu 'Utbah bin Rabi'ah, Abu Jahal dan Abbas bin Abdul Muthalib dengan maksud memberi keterangan kepada mereka hakikat islam agar mereka sudi beriman, diwaktu itu masuklah seorang laki-laki buta, yang dikenal namanya dengan Abdullah bin Ummi Maktum. Dia masuk ke dalam majlis dengan tangan yang meraba-raba. Sejenak sedang Rasulullah terhenti bicara.
Orang buta itu memohon kepada nabi agar diajarkan kepadanya beberapa ayat Al-Quran. Mungkin oleh kerana terganggu sedang menghadapi pemuka-pemuka itu, kelihatanlah wajah beliau masam menerima permintaan Ibnu Ummi Maktum itu, sehingga perkataannya itu seakan-akan tidak beliau dengarkan dan beliau terus juga menghadapi pemuka-pemuka Quraisy tersebut.
Setelah selesai semuanya itu dan beliau akan mulai kembali kepada ahlinya turunlah ayat ini; "Dia bermasam muka dan berpaling." Setelah ayat itu turun sedarlah Rasulullah SAW akan kekhilafannya itu. Lalu segera beliau hadapilah Ibnu Ummi Maktum dan beliau perkenankan apa yang telah diminta dan dia pun menjadi seorang yang sangat disayangi oleh Rasulullah SAW. Dimana sahaja bertemu dengan Ibnu Ummi Maktum, beliau menunjukkan muka yang jernih berseri kepadanya dan kadang-kadang beliau katakan; "Hai orang yang telah menjadi sebab satu kumpulan ayat turun dari langit kepadaku."
Ibnu Katsir pun meriwayatkan bahawa bukan saja Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim yang membawa riwayat ini, bahkan ada pula riwayat dari Urwah bin Zubair, Mujahid, Abu Malik dan Qatadah dan Adh-Dhahhak dan Ibnu Zaid dan lain-lain; bahawa yang bermasam muka itu memang Rasulullah SAW sendiri dan orang buta itu memang Ibnu Ummi Maktum.
Ibnu Ummi Maktum itu pun adalah seorang sahabat Rasulullah yang terkenal. Satu-satunya orang buta yang turut berhijrah dengan Nabi ke Madinah. Satu-satunya orang buta yang dua, tiga kali diangkat rasulullah SAW menjadi wakilnya menjadi imam di Madinah kalau beliau bepergian. Ibu dari Ummi Maktum itu adalah saudara kandung dari ibnu yang melahirkan Siti Khadijah, isteri Rasulullah SAW. Dan setelah di Madinah, beliau pun menjadi salah seorang tukang azan yang diangkat Rasulullah SAw disamping Bilal.
Sumber :Tafsir Al-Azhar, Prof Dr. Hamka.